Terkejutnya aku melihat orkid ungu yang tersusun cantik di atas pusara Opah. Dalam banyak-banyak bunga, dalam banyak-banyak warna… Mengapa orkid? Mengapa ungu? Termenung aku. Masa bagaikan terhenti. Cantik amat bunganya. Cantik buat Opah.
Bercerita tentang orkid, memang arwah amat sukakan orkid. Aku terkilan kerana orkid yang telah ku belikan tidak sempat di’manja’kan oleh arwah. Pada masa itu, arwah baru dimasukkan ke hospital. "Opah, Mas ada belikan Opah bunga orkid. Cantik! Mesti Opah suka", aku memberitahu. Dia hanya senyum.
Ungu? Sejak akhir-akhir ini entah bagaimana warna ungu memang menjadi warna kegemaranku. Kain yang ku beli, baju yang sudah ku hantar untuk ditempah, malah baju arwah Opah yang aku ambil pun kebetulannya semua berwarna ungu. Berkenan betul aku. Pada aku, warna ungu itu sejuk, lembut dan mengkhayalkan. Betul kata S, ungu berada di pusat warna yang sangat menenangkan. Aku tidak pernah mengambil peduli warna ungu ini dahulu. Manakan tidak, ungu bagi ku kelam, kusut, bagai direndam air toksik dari kilang pun ada!! Pendek kata, warna ungu itu jauh dari pilihan mata ku. Tidak terbayang pada ku ungu seri pagi yang berseri-seri, ungu tulip yang menawan, ungu lembut di tujuh warna pelangi. Bukankah mendamaikan dan menenangkan?!
Orkid ungu mendekatkan aku dengan arwah Opah. Akhirnya, aku boleh tersenyum. God, i miss her so much tapi orkid ungu ini sungguh mendekatkan aku dengannya. I’m going through this. Al-Fatihah for arwah Opah. Semoga arwahnya dicucuri rahmat.
[catatan dari blog lama 16 Oktober 2007]
[orkid ungu, diletak oleh Cu yang lebih awal datang menziarah]
[Opah : 290428 - 230307]
No comments:
Post a Comment