Malam tadi semasa mengemas barang-barang, men’campak’ mana yang sudah sepatutnya, terjumpa kalender lama. Padan jugalah kenapa aku masih belum membuangnya. Ada sesuatu yang ingin aku simpan dan sekarang ingin aku kongsikan bersama.
Perumpamaan-perumpamaan yang mengalakkan kita berusaha dan mencapai cita-cita.
[Dipetik dari Pembangunan Leasing Corp Sdn. Bhd, kalender 2005]
- Umpama sirih, menjalar dahulu kemudian melilit, barulah memanjat ke pucuk junjung.
 Maksudnya : tiap-tiap pekerjaan hendaklah dilaksanakan mengikut aturannya.
- Dijemba-jemba bagai bersiang, dihela surut bagai bertanam.
 Maksudnya : mengatur sesuatu pekerjaan supaya berhasil baik.
- Tertumbuk biduk dikelokkan, tertumbuk kata difikiri.
 Maksudnya : kalau menemui kesukaran dalam sesuatu perundingan, hendaklah berusaha mengatasinya.
- Air dalam karang menonggok, setanggi campur kemenyan, gula tertumpah pada kanji.
 Maksudnya : usaha yang berhasil baik.
- Menunduk kepala menghadap raja, bertentang muka menghadap kawan, bercekak pinggang menghadap musuh.
 Maksudnya : melakukan sesuatu, haruslah mengikut tempat dan keadaan.
- Cepat tangan terjembakan, cepat kaki terlangkahkan, cepat mulut terkatakan.
 Maksudnya : jika ingin melakukan sesuatu, maka fikirlah baik buruknya, jangan terlalu cepat ingin membuatnya.
- Contoh kepada yang sudah, mengambil tuah kepada yang menang.
 Maksudnya : sesuatu yang hendak diikuti itu mestilah diambil daripada contoh yang memberikan hasil yang baik.
- Hidup tidak kerana doa, mati tidak kerana sumpah.
 Maksudnya : berusahalah dengan menggunakan tenaga dan fikiran sendiri dan janganlah terlalu mengharapkan pertolongan orang lain.
- Muafakat lalu di dalam gelap, adat lalu di tengah terang
 Maksudnya : sepakatlah melakukan pekerjaan berat dan patuh kepada segala peraturannya.
- Sungguhpun batang merdeka, ingat pucuk akan terhempus.
 Maksudnya : dalam melakukan sesuatu kerja, jangan suatu bahagian sahaja yang diingat, tetapi dari awal hingga akhir perlu diteliti.
- Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak.
 Maksudnya : jika kita mengingini sesuatu keuntungan sudah menjadi perkara biasa sekiranya mengalami masalah.
- Menyorok hilang-hilang, memakan habis-habis.
 Maksudnya : melakukan pekerjaan yang rahsia mestilah menyimpannya betul-betul.
*[petikan dari blog lama 21 Julai 2008]
 
 
No comments:
Post a Comment