FReNs iN KaKi JaLaN

Friday, July 17, 2009

HaLF KaMPuNG HaLF JuNGLe GiRL : ME

Tertangguh lama blog HaLF KaMPuNG HaLF JuNGLe GiRL (HKHJ). Banyak yang aku nak tulis, tapi banyak perkara lain yang menuntut aku. Kesibukkan kerja, kekacauan jiwa seterusnya membawa kepada kesihatan yang tidak begitu mengizinkan untuk aku lama di sini.

Blog HKHJ sebenarnya satu catatan perjalanan istimewa aku. Untuk ke rumah panjang bukan satu pengalaman dan perjalanan yang aku bayangkan, apatah lagi untuk bermimpi. Beberapa tahun aku di Sabah, tidak pernah kaki menjejak ke rumah panjang. Di sebuah daerah pedalaman di Sarawak ketika kerja memanggil tidak juga rumah panjang itu aku masuk. Cukup sekadar di luar. Tidak pernah sama sekali terniat untuk pergi apatah lagi untuk merasai kehidupan di rumah panjang.

Aku budak kampung. Aku menghabiskan lebih banyak masa bersama Opah. Benar rumah Opah bukan rumah kampung, tapi kami tinggal di pekan kecil. Walaubagaimanapun, kehidupan dapur kayu, ke kebun, mengopek kelapa, mengukur kelapa, menangkap ayam sudah biasa. Aku juga sering bermalam di kampung sejarah tepi sungai. Kampung adik beradik Opah, justeru ramai saudara-saudara di sana. Lokasi bermalam biasanya di rumah Opah Cu yang letaknya hanya beberapa meter dari sungai sejarah. Ermmm... Kehidupan kampung yang aku hilang kerana berlalunya waktu. Aku rindukan kehidupan tenang kampung :(

Pertama kali melangkah masuk ke rumah panjang, melalui ruai menuju ke pintu ruang tamu rumah langsung menuju terus ke dapur rumah. Tuan rumah dan saudara-mara ramai berkumpul, suasana meriah dengan gelak ketawa. Duduk dan memandang sekeliling, rasa seperti di alam mimpi. Terasa seperti kembali kepada zaman kanak-kanakku.

Rumah kayu. Tangga tinggi. Lantai jarang. Terbayang masa lalu. Nostalgia. Nostalgia teramat. Seperti dejavu. Terasa mahu menangis kerana keceramukkan perasaan yang indah, segar, mengujakan dan diselam selang dengan perasaan tidak percaya. Bukan setakat rumah, tapi hampir semua di sini pada masa ini. Rumah, barang-barang rumah, hiruk dan kemesraan dalam rumah, semuanya! Aduh, macam mana boleh aku gambarkan?

Rumah di kampung sejarah sudah lama berubah. Sudah ada rumah bawah, sudah di lantai simen, tangganya juga sudah rendah semenjak rumah diangkat pindah ke lokasi lain. Lantai jarang sudah tiada kerana rumah sudah ada tandas. Dahulunya cuma ada kolah air dan di dinding zink sedikit. Dan dahulunya takut mahu turun ke bawah untuk membuang air kecil (takut biawak dsb), buang air dari atas di lantai jarang yang terletak dekat dengan dapur (sebab kat situ ada sinki). Kalau mandi dan mahu membuang air besar, kami ke sungai. Timbul 'pelampung-pelampung' dari kain kemban, kelakar! Membuang air besar di tandas gantung atas sungai. Ikan-ikan lampam di bawah akan merebut hasil. Takut mencangkung di atas papan yang dilintangkan, bagaimana kalau jatuh ke dalam sungai? Namun begitu, melihat ikan-ikan yang banyak, jarang sekali menidakkan rasa 'jakun' dan gembira jiwa kanak-kanakku. Indah cerita zaman dahulu, tapi jangan pula ada yang tak makan ikan sungai lepas nie. Ikan pekasam tetap menjadi pujaan hatiku, dulu, kini dan selamanya. :)

Kembali ke rumah panjang, dari lantai, dinding dan bumbung semuanya dibuat dari kayu berlian. Kayu balak yang paling tinggi nilainya. Usia rumah ini sudah berpuluh tahun, namun masih lagi kukuh. Jika tidak, masakan penghuni dewasa di sini masih berani berlawan lari dalam guni di tengah ruai? Arghhhhhh, kita bercerita dari gambar sahaja. Susah hendak aku gambarkan keadaannya :)

Rumah panjang - satu cerita baru, satu cerita dari masa lampau, satu cerita mimpi dan satu cerita yang tidak dapat aku lupakan. Semuanya indah buat aku di sana.

Rumah panjang - sebahagian darinya. Pintu yang dilihat di dalam sebenarnya tidak berdinding. Masuklah dari mana-mana pintu pun kerana ia membawa ke ruai rumah.

Dari satu sudut lain.
Pandangan dari satu pintu ke pintu sebelah.

Atap dan dinding rumah dari kayu berlian. Pemandangan dari belakang rumah, beranda tempat kami mandi, menjemur baju. Percaya atau tak, memang orang dari dalam rumah boleh tengok kita mandi, membasuh dan sebagainya. Aku dan Ann tunggu hero-hero keluar turun dari rumah dan tunggu malam baru mandi. Esoknya Uncle pasangkan kain supaya tersorok sikit. Mamat-mamat bandar ni tak boleh nak percaya sangat! Ahaksss..

Ni tempat mandi. Uncle dah pasangkan kain pengadang dan letak papan baru. Mandi beratapkan langit.
Ini dapur. Ada dapur gas, ada dapur kayu. Dapur kayu nak buat pangsuh iaitu sejenis masakan Sarawak yang dimasak dalam buluh. Lantai dapur jarang-jarang.

Pemandangan dari beranda belakang. Tempat mandi dan menjemur pakaian. Dari rumah ke rumah sebelah dipapankan sedikit.


[nanti akan dimasukkan lagi gambar-gambar rumah panjang dalam entri seterusnya]

No comments: