FReNs iN KaKi JaLaN

Monday, August 31, 2009

KoMPLeKs SeJaRaH PaSiR SaLaK

Pasir Salak.... Kampung yang banyak meninggalkan bekas dalam zaman kanak-kanak aku. Tahun ini kembali aku jejaki setelah sekian lama meninggalkannya. Bukan rajuk, tetapi punya keberatan yang teramat kerana wujud simpati yang masih belum aku tanggani. Maafkan aku...

Kunjungan baru-baru ini, langsung terus ke Kompleks Sejarah Pasir Salak. Letaknya di antara tepi sungai dan hadapan rumah Opah Saudaraku yang kini telah dipindahkan ke kawasan berhampiran. Aku melihat tapak kompleks ini dari sebelum pembinaannya sehinggalah kepada keadaannya sekarang yang sudah uzur. Tebing sungainya juga sudah tidak seperti dahulu... Mahu terjun sungai??? Arghhh tidak lagi berani dengan air sungai yang sudah semakin dalam dan tidak nampak tenangnya. Tandas gantung juga memang sudah lama tidak ada... Cemar!! Aii cemar!! Jeti bot juga sudah lama ghaib, agaknya sejurus selepas jambatan siap dibina pada akhir 80-an- awal 90-an. Agaknya apa nasib si pembawa bot?? [Dahulu, jika tiada bot di tepi sungai, perlu menjerit memanggil bot di seberang. Ermmm kenangan :)].

Kompleks Sejarah Pasir Salak dirasmikan pada Mei 1990 oleh ketika itu DYMM Pemangku Raja Perak Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin. Gah dan berpusu-pusu orang datang melawat. Rombongan sekolah apatah lagi, bagai tidak pernah putus setiap kali hujung minggu dan mulanya cuti sekolah. Aku juga setiap kali pulang ke kampung, dengan senang hati entah berapa puluh kali kompleks sejarah itu aku jengahi. Barangkali, rasa bangga dan seronok melihat bangunan cantik dan khazanah yang tersimpan didalamnya sangat tebal di jiwa kanak-kanak hingga membawa kepada remajaku.

Kompleks Sejarah Pasir Salak (Bumi Pahlawan Melayu) menyimpan sejarah pembunuhan JWW Birch iaitu Residen British yang pertama di Perak. Kejadian bermula pada tengah malam 2 November 1875, apabila JWW Birch melabuhkan kapalnya bernama Naga dan rumah rakit di kawasan ini (tapaknya ditandakan di kawasan Kompleks ini). Kejadian ini diceritakan melalui tugu-tugu yang dibina di kawasan sekitaran dan melalui diodrama yang di dalam Terowong Sejarah Pasir Salak.

Nostalgia tempat ini diusik kesedihan melihat bangunan Rumah-Rumah Kutai yang kelihatan uzur, sedang di dalamnya menyimpan sejarah yang tidak ternilai. Hanyasa, Terowong Sejarah yang masih elok terjaga. Barangkali kerana ianya satu-satunya bangunan yang perlu dibeli tiket sebelum dapat memasukinya. Jangan sampai suatu ketika terowong ini juga dibiarkan. Aku belum pernah jemu memasukinya. Melihat penceritaan melalui diodrama yang sangat teratur, menarik dan dijelaskan dengan penceritaan yang terperinci. Ada lagi yang menarik di bangunan Terowong Sejarah ini, ... (aishhhh, semua pun nak kena cerita ke? ekeke).

Disertakan beberapa gambar yang dapat dibidik di kawasan sekitar. Agak terbatas sumber kerana menghormati larangan bergambar dan petang yang agak lewat.


Jangan tidak-tidak menulis nama di buku pelawat.
Papan penunjuk lokasi.., jangan sampai sesat ya!!
Ditandakan kawasan kejadian 'pembunuhan' (bak kata sahabatku)
Inilah Terowong Sejarah Pasir Salak yang dimaksudkan. Paling sesuai jika punya masa minimum 1 jam setengah untuk melihat semua yang tersimpan di dalamnya. Dibuka Isnin - Ahad 9.30 pagi hingga 5.00 petang kecuali Jumaar ditutup sementara pada 11.45 pagi -2.45 petang. Tiket dewasa RM4, kanak-kanak RM2.
Berkobar-kobar untuk masuk ke dalam Terowong
Ada laks 'mafia' sesat..... [wahai sahabat, chobaan apakah itu?]Tugu Pahlawan, peristiwa Pasir Salak dianggap sebagai asas kelahiran demokrasi di Malaysia
Batu Peringatan akan peristiwa pembunuhan JWW Birch
Eh, tu pesal kena kurungke??

[Selamat Ulangtahun Kemerdekaan ke-52 buat negaraku tercinta]
[Jauhi aku dari menjadi seorang manusia yang terlalu mudah lupa akan sejarahnya]
Post a Comment